Hari ini saya akan melancarkan satu kategori baru dalam blog ini iaitu Fiqh Anak Yatim. Hihi… bunyinya macam canggih je sebab jarang-jarang dalam dunia ni (ye ke?) orang menulis tentang hukum fiqh berkaitan anak yatim secara khusus.
Saya berpegang kuat bahawa taqdir yang Allah tentukan ke atas saya pasti mempunyai hikmahnya. Mungkin ini juga satu dari hikmahnya iaitu Allah gerakkan hati saya supaya mendalami hukum-hakam yang berkaitan dengan anak yatim.
Topik pertama yang saya akan bahaskan ialah tentang NAFKAH ANAK YATIM.

Kenapa ini yang menjadi pilihan? Kerana topik nafkah menentukan kelangsungan hidup seseorang. Lihatlah di sekeliling kita, betapa ramainya anak kecil yang hidup susah dan melarat selepas bapa mereka meninggal dunia. Lihatlah betapa ramainya ibu-ibu yang menjadi janda… hidup menderita mengerah tulang empat kerat tanpa mengenal siang dan malam demi memastikan bahawa di atas meja makan pasti ada hidangan buat pengalas perut. Tak kurang juga anak-anak yatim yang terpaksa diletakkan di bawah seliaan rumah kebajikan kerana si ibu tiada daya untuk menyediakan tempat tinggal dan makanan yang sesuai dengan perkembangan usia anak tadi.
Persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab menanggung nafkah anak yatim setelah ayahnya meninggal dunia? Di manakah peranan ahli keluarga si mati terutamanya mereka yang turut mendapat habuan harta pusaka si mati?
Pengalaman sendiri yang terpaksa bekerja siang dan malam untuk mencari nafkah untuk lima anak yatim membuatkan saya cuba menghalusi perkara ini. Kesukaran sehari-hari hanya Allah yang tahu apabila kekalutan menguruskan sekolah anak-anak, mengajar mengaji dan menemani mereka membuat ‘homework’, melayan kerenah si kecil, menguruskan rumah, membeli barang keperluan rumah, mengangkut beras dan tong gas… dan bekerja siang malam, Sabtu dan Ahad… wajarkah semua ini dibebankan di atas bahu seorang wanita yang kudratnya tidak lebih sedikitpun daripada orang lain. Continue reading →