“Salam, jenazah kb dh dibawa blk ke umah mak dia, akan kebumi esok kul 10 pg…” Demikian sms yang diterima pada hari raya pertama AidilFitri baru-baru ini. Terkedu membacanya. Di saat umat Islam bergembira dengan persiapan malam raya, rupa-rupanya sahabat saya, Khairul Bariah, dipanggil bertemu Rabbuljalal. Tinggallah empat orang anakandannya menjadi yatim dan merindui kasih ibu. اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها


[SMAS, Kajang, 3 Kuning, 1990. Berterabur: Hafiz Sarim, Madihah, Mardhiyah, Syirazi Hafiez, Hafiz Othman, Yusrina Yunus, Azri Sahat, Azrin Aziz, Shahril Yusni, Zairil, Nooradilah Mohd Rukon, Noradillah, Raslina Mohamed Nor, Faizal Yassin, Hasbi Arifin, Syukri, Fariheena, Halim Hafiz, Mohd Helmi, Amalina Mahidin, Iskandar Hamim, Faris Hasbullah, Afizah Yaakob, Nur Ahmad, Hasanah Abd Khafidz (teka yang mana?), Mohd Zulakhmar Zakiyudin, Siham Ismail, Che Iazmi Che Sof, Ariffaizad, Khairul Bariah Abas Azmi, Norhidayah, Kamarul Arrifin Ali, Rosmiyati, Intan Syafinaz Mat Shafie, Norleen Rashid, Hazalina, Norlin Soraya Ahmad Bashri, Suzlina Shokri and Syazli Fathi]

Ilmu yang sering dikesampingkan

Saya mencapai kitab kesayangan, iaitu Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, karya imam agung, Ibn Hajar al-Asqalani. Dalam juzuk keenam, terkandung Kitab al-Wasaya (Wasiat/ Pesanan). Meneliti hadis-hadis yang dibawa oleh Imam al-Bukhari dalam tiga bab yang pertama dalam Kitab al-Wasaya, terasa terpukul diri ini kerana mengabaikan perintah Allah s.w.t. dan juga Rasulullah s.a.w.

Dalam perbahasan yang panjang lebar tentang hadis wasiat, terdapat pandangan yang mewajibkan wasiat bagi orang yang mempunyai harta dan ada yang mengatakan bahawa ianya sunat, bahkan boleh jadi juga harus. Namun, majoriti fuqaha berpendapat bahawa wasiat bukanlah wajib, tetapi jika hanya dengan berwasiat maka sesuatu hak dan tanggungjawab dapat dipenuhi, maka ia menjadi wajib. Info ini membuatkan saya berfikir-fikir. Pastinya ada di sana-sini hal ehwal yang hanya boleh diselesaikan melalui wasiat. Mana tahu kan, ajal maut adalah hak Allah s.w.t., apabila sampai masanya, saya juga akan dipanggil sepertimana suami yang dikasihi, al-marhum ustaz Rosdi bin Yusof, sahabat saya Khairul Bariah dan lain-lain lagi. Bimbang juga jika ada urusan yang tidak dapat diselesaikan kerana orang lain tidak tahu lantaran kealpaan saya mencatatkannya dengan jelas (sebagai wasiat) contohnya hutang, kerana amalan seseorang akan ‘tergantung’ hinggalah selesai hutang piutangnya.

Saya menyelak halaman 12. Terpampang Bab an yutrak warathatahu aghniya’ khayrun min an yatakaffafu al-nas (Bab: meninggalkan warisnya dalam keadaan kaya lebih baik dari meninggalkannya meminta-minta (sedekah) daripada orang ramai).

Nostalgia Hj. Siraj, Hj. Abd. Khafidz, Hjh. Siti Halimah & Ustaz Rosdi

Teringat pada arwah atuk, Hj. Siraj, yang tidak pernah saya temui akibat dibunuh oleh tentera Jepun yang zalim. Atuk buka banyak tanah yang asalnya hutan belantara. Atuk jadi ketua kampung dan punya banyak tanah. Namun, itu menjadi kebencian Jepun. Akhirnya atuk ditangkap, diseksa, dipaksa meminum air sabun, dipijak-pijak, disepak terajang, ditanam separuh badan dan entah apa lagi seksaan yang menimpa. Abah yang masih kecil berjaya melarikan diri bersama-sama adik-adik. Atuk meninggal dunia setelah tidak tahan diseksa. Itupun khabarnya setelah atuk memberitahu bahawa ada Quran kecil terikat di tangan atuk yang membuatkannya seperti kebal. Tentera Jepun membuang Quran tersebut dan ajal atuk tiba. Cerita ini disampaikan oleh orang yang sama-sama turut ditangkap namun akhirnya lolos. Di mana kubur atuk? Kami tidak tahu.

Selepas Jepun kalah, abah teruskan usaha membangunkan tanah peninggalan atuk di samping tanah milikan abah sendiri. Mak juga tidak kurangnya berusaha membantu ekonomi keluarga termasuklah ‘membantu menyelesaikan’ masalah kewangan adik-beradik mak dengan membeli tanah mereka. Mak meninggal ketika saya baru 4 bulan belajar di Jordan, iaitu tahun 1994. Abah pula meninggal dunia 10 tahun kemudian (tahun 2004), meninggalkan zuriat yang macam pasukan bola bersama tanah di sana-sini.

Apabila suami yang dikasihi, ustaz Rosdi Yusof meninggal dunia pada tahun 2007, hiba saya & anak-anak tidak dapat digambarkan. Dengan bayi di dalam rahim yang berusia 8 bulan dan anak-anak seramai 4 orang lagi, tiada butir bicara yang dapat diatur bagi meluahkan rasa di hati. Kelam seketika hidup mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Namun, dipujuk-pujuk juga hati agar redha dengan qadha’ qadar Allah. Apalah sangat ujian ini, jika hendak dibandingkan dengan orang lain yang lebih derita dan terseksa tanpa belanja makan, pakai mahupun tempat berlindung. Sekurang-kurangnya, anak-anak ada saya yang berjawatan tetap & rumah tempat berteduh yang kami beli (nama bersama) sejak tahun 2000 lagi. Ada hikmah rupanya berikat perut selama ini untuk kami membeli rumah sejak saya berumur 25 tahun lagi. Alhamdulillah, hutang rumah telah diselesaikan sepenuhnya oleh Takaful Malaysia.

Semoga Allah s.w.t. mengampunkan segala dosa abang, mak, abah & atuk. Jika diizinkan oleh Allah s.w.t. untuk kami bertawassul dengan amal kebaikan abang, mak, abah & atuk, maka kami memohon kepada-Mu ya Allah agar memberikan sebaik-baik ganjaran kepada mereka kerana mereka telah berusaha keras seumur hidup untuk TIDAK meninggalkan kami dalam keadaan hina miskin melata-lata. Ampunilah dosa mereka dan letakkanlah mereka dalam kalangan orang-orang yang Dikau muliakan, amiinn…. ya Rabb al-alamin.

Nota penting: Maaf jika ada yang tidak ‘selesa’ dengan entri kali ini. Saya selalu teringat firman Allah s.w.t. dalam surah yang penuh gambaran ni’mat daripada Allah s.w.t. untuk umat manusia, iaitu surah al-Tin, apabila Allah s.w.t. berfirman ((وأما بنعمة ربك فحدث)) , maksudnya, dan kurnia Tuhan engkau hendaklah engkau khabar-khabarkan. Mudah-mudahan ada kebaikan pada perkongsian cerita saya ini.

[Status: Sambung baca Fath al-Bari, juzuk 6, bab 3, halaman 20: Bab al-wasiyyah bi al-thuluth (bab berwasiat dengan 1/3 harta), tertarik dengan kata-kata Baginda Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan berwasiat dengan 1/3 harta dan katanya: "Sepertiga! (Itupun) sepertiga banyak!") Betapa Islam sentiasa menjaga hak para waris terutamanya ashab al-furudh: suami/isteri, anak-anak, mak, ayah...) yang sekurang-kurangnya tetap akan mendapat 2/3 harta peninggalan si mati. ]

Bagi yang sudi menanam benih akhirat, lawatilah http://www.bait-alamin.com atau http://bait-alamin.blogspot.com/.

DeliciousHotmailPrintFriendlyTwitterTechnorati FavoritesYahoo MailShare

Related posts:

  1. rAyA
  2. Tazkirah Akhir Ramadhan- Tanpa Tajuk