Sudah lama tidak menulis secara kritis. Asyik menulis secara ‘popular’ hingga rentak blog ini berubah irama. Berikut ialah sedikit intro mengenai isu harta sepencarian yang sudah di peringkat akhir kajian melalui Geran FRGS. Intro ini ada saya masukkan dalam kertas kerja yang akan dibentangkan tidak lama lagi dalam Seminar Pengurusan Harta di UKM. (Namun dalam tulisan berikut, nota rujukan telah saya buang)

Jika anda juga membuat kajian berkaitan harta sepencarian dan memerlukan maklumat, boleh lihat blog info harta sepencarian yang dibangunkan di http://www.drhasanah.com/hs . Namun, blog ini saya letak password atas sebab-sebab tertentu. Jika anda mahukan password tersebut, sila emel saya.

Memahami Isu Harta Sepencarian: Intro

Sistem kekeluargaan Islam mengiktiraf hak dan tanggungjawab setiap individu dalam institusi tersebut termasuklah aspek nafkah. Dalam konteks semasa di Malaysia, urusan mencari nafkah pada umumnya telah dipikul oleh kedua-dua pasangan suami isteri dan mendatangkan aset dalam benetuk harta sepencarian.

Walaupun terdapat undang-undang mengenai harta sepencarian, namun, dari sudut pembahagian harta sepencarian tersebut, undang-undang tidak dapat memberikan penjelasan sebaiknya. Malah, terdapat berbagai-bagai pandangan yang dikemukakan di Malaysia seperti di Johor, Terengganu, Selangor dan Perak yang membahagikan harta  sama ada mengikut adat setempat atau secara sama rata manakala di Kedah penilaian adalah berdasarkan tahap kerja seorang pembantu yang diupah. Menariknya, dalam kes Rokiah lwn. Mohd. Idris (1989) pihak isteri berjaya mendapat satu pertiga daripada rumah, tanah dan pelaburan suaminya walaupun dia tidak memberikan sumbangan langsung untuk mendapatkan harta tersebut. Dalam perbincangan berikut, isu harta sepencarian di Malaysia dibincangkan dengan melihat kepada kes-kes di dalam Jurnal Hukum antara tahun 2000-2009.

Mukadimah

Isu harta sepencarian merupakan suatu masalah yang agak baru dalam perundangan Islam di Malaysia. Dalam masa yang sama, ia juga agak sukar dan rumit untuk diselesaikan oleh mana-mana Mahkamah Syariah. Isu pembahagian harta sepencarian ini selalunya timbul sekiranya perkahwinan terpaksa melalui proses poligami ataupun berakhir dengan perceraian mahupun kematian suami.

Dalam kes kematian sebagai contoh, keluarga si mati yang sebahagiannya merupakan waris ashab al-furudh  akan menuntut supaya keseluruhan harta yang ditinggalkan adalah harta pusaka. Pihak isteri pula akan cuba menafikan bahawa semua harta suami boleh dianggap harta pusaka kerana terdapat sumbangan tertentu yang pernah diberikan oleh pihak isteri dalam memperoleh harta tersebut.

Pemahaman tentang konsep sebenar harta sepencarian adalah sangat penting untuk difahami dan diketahui oleh umat Islam. Hal ini kerana, isu harta sepencarian ini sangat penting dan berguna sebagai panduan dan rujukan umat Islam. Oleh itu, kertas kerja ini akan membincangkan isu harta sepencarian dengan fokus utamanya ialah isu kaedah pembahagian harta sepencarian di Malaysia memandangkan aspek pembahagian sering menjadi fokus utama dalam tuntutan harta sepencarian tetapi malangnya ia juga sering mendukacitakan sebelah pihak sama ada pihak defendan mahupun plaintif.

Isu Definisi Harta Sepencarian

Isu harta sepencarian bermula daripada pemahaman tentang definisi harta sepencarian itu sendiri. Menurut Kamus Dewan, harta sepencarian ditakrifkan sebagai harta yang diperoleh daripada usaha suami isteri.  Ia juga didefinisikan sebagai pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama antara suami isteri termasuk pendapatan yang didapati daripada modal antara suami isteri.  Selain itu, ia juga ditakrifkan sebagai harta yang dikumpulkan hasil usahasama antara suami dan isteri sepanjang mereka mendirikan rumahtangga.

Harta sepencarian merupakan harta samada harta alih atau harta tak alih yang diperolehi dalam masa perkahwinan di antara suami dan isteri hasil dari sumber-sumber atau usaha mereka bersama.  Dalam Jurnal Hukum, harta sepencarian ditakrifkan sebagai harta yang diperolehi semasa suami dan isteri itu hidup dalam berumahtangga dan berusaha samada kedua-dua pasangan itu bekerja dalam bidang berlainan samada secara rasmi atau tidak dan dibahagikan tugas atau tidak.

Dalam budaya Melayu, perkataan harta sepencarian dikenali dengan istilah yang agak berbeza. Ia dikenali sebagai carian laki bini di Negeri Sembilan, pencarian di Sarawak, pencurian bagi orang Melanau di Sarawak, gona-gini di Jawa, hareuta sihareukat di Acheh, harta suarang di Minangkabau, guna-kaya di Sunda, druwe bagro di Bali dan barang perpantangan di Kalimantan.  Di Tanah Melayu adakalanya harta sepencarian dikenali sebagai harta syarikat  manakala istilah harta usahasama terkenal dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia pula secara umumnya mendefinisikan harta sepencarian sebagai harta yang diperolehi bersama semasa perkahwinan melalui usaha bersama kedua-dua suami dan isteri. 

Di dalam literatur tentang harta sepencarian, terdapat banyak definisi harta sepencarian yang telah dikemukakan oleh para sarjana dan hakim. Walaupun berbeza dari sudut huraiannya, namun semua definisi itu merujuk kepada maksud yang sama. Berdasarkan analisa terhadap semua definisi yang telah dikemukakan dalam penulisan sebelum ini, maka harta sepencarian ialah bermaksud ‘satu harta sama ada alih atau tidak alih yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama dalam masa perkahwinan mereka masih berjalan dan berkuatkuasa. Harta itu juga termasuklah harta yang diperolehi sebelum mereka berkahwin atau diperolehi dalam tempoh perkahwinan tetapi bukan hasil usaha bersama (seperti harta pusaka dan hibah) tetapi telah dapat dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama.’    

Definisi di atas kelihatannya dapat menjelaskan maksud harta sepencarian. Namun hakikatnya ia menimbulkan kekeliruan tentang beberapa perkara seperti kedudukan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang potongan gaji yang disimpan secara tetap dan berpanjangan di dalam bank.

Dalam kes Masiran lwn. Azizah (2001) sebagai contoh, mahkamah telah membahagi harta yang dituntut secara sama-rata antara plaintif dan defendan walaupun defendan adalah suri rumah sepenuh masa kerana menilai sumbangan plaintif dalam kerja-kerja rumah dan pengasuhan anak-anak. Hakim telah memetik Kitab Majmu’ yang menjelaskan bahawa tugas tersebut bukanlah tugas seorang isteri.

Timbul juga persoalan mengenai bagaimanakah cara hendak mengenalpasti item-item yang menjadi hakmilik isteri atau suami. Selepas berkongsi hidup selama puluhan tahun, pastinya sukar untuk membuat penilaian yang tepat bagi setiap pemilikan harta serta menilai sumbangan setiap pihak.

Satu isu yang lain pula ialah, bagaimanakah kedudukan wang KWSP yang juga diperolehi oleh suami semasa bekerja dalam tempoh perkahwinan? Bagaimana pula dengan wang simpanan yang ditolak daripada pendapatan yang diterima?

Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000 pernah menjelaskan bahawa wang KWSP dan wang simpanan ialah harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Hal ini menidakkan hak pasangan untuk menuntut bahagian dalam wang KWSP dan wang simpanan sebagai harta sepencarian dan ini bertentangan dengan definisi bahawa wang ini juga merupakan harta yang diperolehi secara usaha sama di antara suami dan isteri di mana si isteri mungkin memberikan sumbangan secara tidak langsung iaitu sebagai suri rumah yang menguruskan keluarga ketika suami keluar bekerja dan membuat caruman KWSP hasil pekerjaan tersebut.

Satu persoalan lagi, jika terdapat hak isteri dalam harta suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan, maka apakah terdapat pula hak suami dalam harta isteri yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan memandangkan fenomena wanita berkerjaya sudah menjadi budaya dan ramai pula suami yang sudah bersengseng lengan membantu isteri membuat kerja-kerja rumah dan merasai ‘layanan yang berkurangan’ daripada isteri lantaran keletihan dengan tugas di luar rumah.

Pembawaan isu ini bukanlah hendak mempertikaikan keputusan fatwa yang telah dikemukakan oleh pihak berautoriti mahupun bersifat feminisme. Sebaliknya, ia bertujuan untuk membuka ruang perbincangan bagi menyelesaikan masalah lompangan dalam pendefnisian bagi membentuk satu definisi yang jami’ dan mani’ (lengkap dan terbatas) serta membawa keadilan kepada kedua-dua belah pihak iaitu lelaki dan wanita serta para waris yang berkaitan.

Bersambung…

DeliciousHotmailPrintFriendlyTwitterTechnorati FavoritesYahoo MailShare

Related posts:

  1. Memahami Isu Harta Sepencarian – Peruntukan Undang-undang Berkaitan Harta Sepencarian di Malaysia
  2. Memahami Isu Harta Sepencarian – Kaedah Pembahagian
  3. Definisi Kahwin Misyar
  4. Harta kanak-kanak dan orang gila perlu dikenakan zakat?
  5. Wacana Nikah Misyar anjuran Jemaah Islah Malaysia (JIM)