Hari ini saya MC. Migrain semalam berlarutan hingga hari ini ditambah dengan demam dan selsema. Sesekali sakit rupanya cara Allah memberi notis amaran buat saya yang jarang-jarang mensyukuri ni’mat sihat.

Tengahari, seorang rakan menghubungi saya dan sibuk mahu mengucapkan “Selamat Hari Jadi Ziyad”. Baru saya teringat, hari ni hari jadi Ziyad! Dah 6 tahun rupanya dia. Teringat dulu semasa melahirkan Ziyad pada 2/3/2003 (awal 4 hari daripada tarikh jangkaan bersalin), suasana riuh rendah di Hospital Selayang sebaik sahaja Ziyad dilahirkan. Jeritan staffed nurse yang menyambutnya memanggil-manggil doktor membuatkan saya kehairanan.

“Mungkin dia lemas agaknya,” bisik hati saya pabila melihat wajahnya agak kehitaman.

Bayi gastrochiasis semasa dalam perut [gambar wikipedia]

Serta merta Ziyad di bawa ke bilik lain. Dia dimasukkan ke dalam inkubator. Saya masih tertanya-tanya apa yang berlaku. Rusydi pula dipanggil ke bilik di mana Ziyad dibawa.

Selepas saki baki uri telah dibersihkan daripada rahim saya barulah staffed nurse yang menyambut memberitahu bahawa Ziyad ada masalah sikit.

“Anak awak sakit.”
Ususnya keluar.”

Jawapan yang membuatkan saya tergamam. Tak pernah saya dengar hal seperti ini. Perasaan menjadi resah yang amat sangat. Anak yang baru sahaja dilahirkan tidak dapat disentuh langsung apa lagi mahu memeluknya. Entah apa nasibnya.

“Dia boleh hidup tak?” Terpacul soalan dari mulut ini.

Tiada janji yang dapat diberikan. Hanya nasihat kesabaran dan pohonan doa sahaja yang dapat disajikan.

Beberapa minit kemudiaan, suami yang tadinya menggenggam tangan saya sepanjang proses bersalin masuk semula ke bilik bersalin. Tidak sempat berkata-kata, kami berpelukan kerana tidak mampu lagi menahan sebak.

Selepas itu, Rusydi menemankan Ziyad ke Hospital Kuala Lumpur. Tinggallah saya keseorangan di wad bersalin Hospital Selayang. Sayunya hati kerana sembilan bulan saya mengandungkannya, tapi saya hanya dapat melihat wajahnya sekali imbas sahaja semasa dia dipindahkan ke bilik lain sebaik dilahirkan. Sayunya hati terkenang anak lelaki sulong yang ditunggu-tunggu kelahirannya terpaksa dibawa ke hospital lain untuk dibedah walhal baru sahaja dia dilahirkan. Sayunya hati mengenangkan entah apa nasib anak ini yang sedang berjuang untuk meneruskan hidup.

Petang hari tersebut, Ziyad telah dibedah. Lubang kecil pada perut yang menyebabkan ususnya keluar telah dibesarkan dan doktor cuba memasukkan semula usus yang keluar. Memandangkan usus yang keluar agak banyak, maka tidak semua usus dapat dimasukkan. Masih ada usus iaitu sebanyak kira-kira tapak tangan orang dewasa yang tidak dapat dimasukkan. Doktor menutupnya dengan lydura, sejenis bahan seperti plastik.

Keesokan harinya, saya discaj dari Hospital Selayang. Atas desakan saya, Rusydi membawa saya terus ke Hospital Kuala Lumpur walaupun saya masih lemah. Keinginan di hati untuk melihat Ziyad tak dapat ditahan-tahan.

Dalam wad Pediatric Intensive Care Unit (PICU), saya terduduk melihat keadaan Ziyad. Dia begitu tembam dengan berat 3.25kg, tetapi wayar berselirat di sana-sini dengan pintalan usus yang kelihatan jelas di sebalik lydura. Hati seorang seibu begitu tersayat melihat keadaan itu. Doktor memberitahu bahawa apa yang berlaku disebut secara perubatan sebagai: Gastrochiasis (disebut juga: Gastrochisis)

Dua minggu selepas itu, seorang nurse menghubungi saya pada jam 3.20 pagi.

Ziyad tenat

Tergamam saya dengan kata-kata itu. Benar-benar tidak percaya dengan apa yang diberitakan.

Saya kejutkan Rusydi dalam keadaan teresak-esak. Selepas diberitahu, terus dia berwudhu dan solat.

Kami bergegas ke hospital. Di hospital kami hanya mampu berdoa sahaja. Ziyad bergantung hampir 100% kepada mesin bantu hayat. Doktor memberi Ziyad sejenis ubat yang disebut Tinum, iaitu sejenis antibiotik yang paling kuat kerana paru-parunya mengalami pneumonia (jangkitan kuman pada paru-paru). Saya nampak kulitnya berubah perlahan-lahan menjadi kemerah-merahan kerana alah dengan ubat tersebut. Doktor berikan pula ubat alahan.

Semangat Ziyad sangat kuat. Selepas beberapa minggu keadaan Ziyad semakin pulih. Kulit perut yang berlubang juga tumbuh secara perlahan-lahan hinggalah lubang sebesar tapak tangan menjadi semakin kecil.

Pada hari yang ke-41 (kalau tak silap), Ziyad dibenarkan pulang ke rumah. Saya terpaksa mengambil alih tugas nurse mencuci lubang tersebut. Semasa discaj, lubang tersebut hanyalah sebesar kira-kira wang 50 sen. Seghiyau kata orang utara melihat darah meleleh laju setiap kali lubang tersebut dicuci. Tapi, apakan daya. Saya gagahkan juga walaupun tangan terketar-ketar mengesat darah yang mengalir.

Selepas tiga bulan, kulit tumbuh sepenuhnya menutupi usus Ziyad.

Hari jadi Ziyad yang pertama disambut di rumah baru bersama ayah dan adik-beradik

Hari jadi Ziyad yang pertama disambut di rumah baru bersama ayah dan adik-beradik

Seorang pakwe hensem sedang posing di depan Gunung Kinabalu pada tahun 2006

Seorang pakwe hensem sedang posing di depan Gunung Kinabalu pada tahun 2006

Kini, enam tahun telah berlalu, alhamdulillah syukur pada Allah yang Maha Pengasih. Ziyad sihat wal afiat. Cergas berlari ke sana-sini seperti kanak-kanak lelaki yang lain.

Sepanjang minggu lepas asyik menyebut-nyebut tentang ayah.
“Kalau ayah tak meninggal lagi bolehlah Ziyad pilihkan kasut untuk ayah.” Begitulah sebahagian kata-katanya semasa saya membawa dia membeli kasut untuk dia dan adik-beradik.

Kepada Ziyad, semoga menjadi insan soleh dan musleh. Jadilah insan yang baik seperti ayah. Berhati kental seperti ayah. Jadi berani seperti ayah. Cintakan ilmu juga seperti ayah…

p.s. Saya mahu masukkan gambar Ziyad semasa warded di Hospital Kuala Lumpur, tetapi gambarnya ada di rumah saya di Bertam. Nanti bila-bila ke sana saya akan ambil gambar tu dan scan untuk tatapan semua dan ingatan Ziyad.

  • Delicious
  • Gmail
  • Hotmail
  • PrintFriendly
  • Twitter
  • Technorati Favorites
  • Yahoo Mail
  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Tips mengawal anak-anak dari pejabat
  2. Permata baru
  3. Hadiah buat anak-anak yatim miskin Bait al-Amin
  4. Hajar – mengenang 2 tahun kehadirannya