OK, sambungan topik dua hari lepas. Kali ini saya akan sentuh tentang haid dan hubungan suami-isteri.

Amaran: Entri ini tidak sesuai dibaca oleh orang yang belum kahwin atau telah berkahwin (seperti saya). Hanya orang yang sedang berkahwin sahaja boleh baca!!!


+++++++++++++++++++++++++
ISTERI HAID?
+++++++++++++++++++++++++

S: ISTERI SAYA HAID, APA YANG BOLEH SAYA LAKUKAN KE ATAS ISTERI SAYA?

J: Soalan ini sangat menarik. Terdapat satu hadis yang boleh menjelaskan persoalan ini. Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Marwan bin Ajda’ berkata, saya pernah bertanya kepada Aishah r.a.: “Apakah yang boleh dilakukan oleh seorang lelaki terhadap isterinya apabila dia kedatangan haid?” Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab: “Apa sahaja selain farajnya.”

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan bahawa bergurau senda dengan isteri yang sedang mengalami haid adalah diharuskan asalkan tidak berlaku persetubuhan.

S: JIKA BEGITU, BOLEHKAH PERSETUBUHAN DILAKUKAN MELALUI DUBURNYA?

J: Persetubuhan melalui dubur adalah haram samada isteri sedang haid, nifas ataupun dalam keadaan suci bersih.

Dalam surah al-Baqarah ayat 222 ada dijelaskan firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka campurilah mereka (isteri-isteri kamu) itu di tempat yang diperintahkan oleh Allah kepadamu.”

Selain itu, terdapat juga hadis yang melarang suami menyetubuhi isteri melalui duburnya, seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Janganlah kamu mendatangi para isteri pada dubur mereka.” (hadis diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Majah dan al-Tirmizi).

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda maksudnya: “Terkutuklah orang yang mendatangi isteri pada duburnya.” (hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan Ashab al-Sunan)

S: BENARKAH TERDAPAT AYAT AL-QURAN YANG MENGHARUSKAN SUAMI MENDATANGI ISTERINYA DARI ARAH MANA SAHAJA WALAUPUN DARI DUBURNYA?

J: Mungkin ayat yang dimaksudkan ialah ayat ke 223 dalam surah al-Baqarah yang berbunyi:
“Isteri-isterimu adalah seperti ladang tempat kamu bercucuk tanam. Maka datangilah ladang tempatmu bercucuk tanam itu dengan cara apa pun yang kamu kehendaki.”

Sebenarnya, yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah seorang suami diharuskan mendatangi isterinya dari arah mana sahaja yang disukainya, samada dari arah depan mahupun dari arah belakang isterinya asalkan persetubuhan itu tetap dilakukan pada farajnya. Tidakkah ‘bercucuk tanam’ yang dimaksudkan dalam ayat tersebut merujuk kepada faraj? Tidak mungkin seseorang dapat ‘bercucuk tanam’ dan menghasilkan zuriat jika persetubuhan dilakukan melalui dubur!

S: JIKA SEORANG SUAMI TERLANJUR MENYETUBUHI ISTERINYA YANG SEDANG HAID, APAKAH DIA BERDOSA?

J: Ya! Ini kerana dia dengan jelas telah melanggar syarak. Sebenarnya, menyutubuhi perempuan yang sedang haid bukan sahaja dilarang oleh syarak, malah bukti perubatan juga menunjukkan bahawa terdapat mudarat yang besar ke atas kedua-dua lelaki dan perempuan yang bersetubuh ketika si perempuan sedang haid.

S: APA YANG PERLU DILAKUKAN?

J: Seseorang yang telah menyutubuhi isterinya yang sedang haid dikenakan kaffarah atau denda. Terdapat beberapa pandangan mengenai denda yang dikenakan ke atas suami yang menyetubuhi isteri yang sedang haid. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa dendanya ialah memerdekan seorang hamba. Pendapat lain pula ialah bersedekah sebanyak satu dinar ataupun setengah dinar. Malah, ada juga yang berpendapat bahawa memadai beristighfar dan bertaubat. Pendapat yang diterima dalam mazhab Shafii ialah dikenakan denda bersedekah sebanyak satu dinar ataupun setengah dinar.

=====================

Minggu depan Insya Allah saya akan sentuh tentang Istihadhah. Ada satu persoalan menarik yang akan dikongsi yang saya akan tulis lebih kurang:
“Aduhai isteriku, asyik istihadah”…… hihii… (provokasi murahan supaya minggu depan akan ada orang yang tunggu entri baru daripada saya)

  • Delicious
  • Hotmail
  • PrintFriendly
  • Twitter
  • Technorati Favorites
  • Yahoo Mail
  • Share/Bookmark

Related posts:

  1. Untuk kita-kita je: Soal jawab tentang haid/ haidh (bahagian 3)
  2. Untuk kita-kita je: Soal jawab tentang haid / haidh (bahagian 1)
  3. Bagaimana iddah bagi wanita yang tiada haid, tidak pernah haid atau telah putus haid – menopause
  4. Untuk kita-kita: Istihadhah
  5. Tempoh Iddah – Bahagian 1