Tak menjadi langsung!

Fuh! Macam-macam jadi. Ada juga yang menjadi-jadi. Tak kurang pula yang tak menjadi! Alhamdulillah, takde pula yang ‘apa pun tak jadi’. Sekurang-kurangnya jadilah juga walau pun tak berapa menjadi.

3-4 hari ni… Alhamdulillah projek khidmat masyarakat saya menjadi walaupun belum betul-betul jadi. Lihat http://www.skbg.edu.my yang terhasil selepas saya dijemput oleh pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir dan juga PIBG untuk membangunkan laman web sekolah. Inilah laman web sekolah yang pertama yang pernah saya buat. Terasa seronok bila dapat berkhidmat untuk sekolah di mana anak saya belajar walaupun saya bukan AJK PIBG. (Saya hadir mesyuarat PIBG hari tu, tapi buat senyap je… takut orang lantik jadi AJK! hihiii….).

Website SKBG tu belum siap sepenuhnya. Saya hanya uruskan domain, hosting, structure website dan hal-hal yang berkaitan teknikal. Laman web SKBG ini saya letakkan dalam hosting saya secara percuma. Sekarang ni masih menanti cikgu-cikgu untuk sediakan kandungan. Rasa gembira kerana saya semakin mahir menggunakan CMS Joomla.

Not empty

Hanan dan Husna mula belajar di SKBG mulai Jun 2008 iaitu selepas saya dapat menjadi Penolong Penggawa di Desasiswa Tekun, USM. SKBG adalah sekolah paling dekat dengan desa. Majoriti guru-guru di SKBG kenal mereka berdua kerana semua guru-guru tu kenal saya! Puncanya ialah bulan lepas, saya telah memberikan ceramah tentang integriti kepada semua cikgu, teacher, ustaz dan ustazah di SKBG. Hmmm… ngeri betul rasanya bila nak mengajar orang yang mengajar anak-anak saya!!! Rasa macam semuanya tak kena sebab anak-anak sendiri pun masih ‘kurang diajar’! Sehari-dua selepas ceramah tu, Husna merungut. “Mak, hari ni cikgu asyik tanya emak nama apa?” Saya membalas, “Hah, tu lah. Husna kena baik-baik lepas ni ye. Semua cikgu dah kenal emak. Husna kena belajar bersungguh-sungguh.” Bebelan saya hanya dibalas senyuman…

Ala kulli hal, mungkin ada juga hikmah semuanya. Anak-anak semakin bersungguh-sungguh belajar. Saya juga makin dekat dengan guru-guru mereka. Kepada para ibu bapa semua, hubungan baik tiga dimensi ini perlu dipupuk dan dijalin mesra kerana ia akan dapat membantu perkembangan akademik dan sahsiah anak-anak. Semoga semua pihak akan dapat memperoleh manfaatnya.

Tukar topik.

Laman web saya serahkan kepada sekolah untuk update. Jadi, saya boleh tolak ke tepi. Kini musim mengambang pun bermula. Mengambang saya tiada kaitan dengan mana-mana parti politik! Biarlah Perak dengan silau dan kilau politik. Biarlah Penanti dengan ranjau dan duri. Saya tak sempat nak pikir semua tu. Sekarang ni musim untuk memabukkan diri menyemak skrip peperiksaan akhir. Kembang biji mata melihat segala macam tulisan. Besar, kecil, tegak, bulat, mereng semuanya ada. Aduhai la pelajar ku sayang…. Fakta! Saya mahukan fakta! Jangan jawab meleret-leret tanpa fakta. Saya tak timbang kati! Siapa yang jawab pendek tapi sarat dengan fakta akan dapat markah lebih tinggi dari yang jawab berkodi-kodi tapi faktanya hanya sepicis!

read!

Ok lah. Mengambang… mengambang juga…. tapi, hujung minggu ni desa akan buat lawatan ilmiah ke Sabah! Bestnya! Bye-bye semua…. Jumpa di sana bah!

DeliciousHotmailPrintFriendlyTwitterTechnorati FavoritesYahoo MailShare

Related posts:

  1. Bila kita hidup bahagia, kita sangka akan hidup lama