Jangan zalimi ibu tunggal

“Ayam tinggal sikit,” kata pembantu rumah saya sewaktu saya hendak melangkah keluar rumah pagi tadi.
“Alhamdulillah…” spontan sahaja respon saya.
“Udang? Dah habis?” Soal saya.
“Udah. Habis semua,” jawab pembantu rumah yang dipanggil bibik. Bibik ialah perkataan Jawa yang bermaksud makcik.
“Alhamdulillah… syukur,” balas saya.

Begitulah selalunya. Setiap kali mendapat tahu bahawa bekalan makanan untuk anak-anak habis, saya akan memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Syukur tidak terkira kerana saya dapat memberi nafkah kepada anak-anak itu. Anak-anak yatim pula. Syukur juga kerana apa yang saya belikan untuk mereka habis semuanya. Tambah bersyukur kerana rezeki untuk anak-anak ini tidak pernah putus. Keberkatan hidup semenjak memelihara anak-anak yatim memang sangat dirasakan. Biarpun sesekali terasa berat bahu menggalas tugas ibu dan ayah, namun inayah dari Allah sentiasa mengiringi. Alhamdulillah…

Terima kasih kepada Irfan Supandi dan Ummu Harits yang telah mengarang buku “Keajaiban Mengasuh Anak Yatim” yang telah diterbitkan oleh Ziyad Books di Indonesia (hmm… Ziyad… sama nama dengan my beloved son). Terima kasih kepada sahabat saya yang telah menghadiahkan buku ini yang telah memotivasikan saya dalam mengasuh anak-anak yatim.

Jangan zalimi ibu tunggal

Hmm… topik ini nampak sangat berat sebelah. Seperti hendak berkata tentang diri sendiri. Minta maaf ye. Hakikatnya, dengan sesiapa pun kita tak boleh berlaku zalim walaupun kepada binatang dan alam sekitar. Cuma dalam konteks anak yatim, terlalu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh tentang larangan berbuat zalim, mengherdik, menghina dll terhadap anak yatim. Malah, ibu-ibu tunggal yang memelihara anak-anak kandung mereka yang yatim juga perlu sedar dengan peringatan ini.

Tapi, apa kena-mengena dengan jangan zalimi ibu tunggal? Jawapannya, kerana merekalah pemelihara anak yatim. Dibimbangi jika kita menzalimi ibu tunggal, maka maslahat anak-anak yatim juga akan terjejas. Tidak kiralah kezaliman tu dari sudut mental, fizikal, material mahupun emosi. Para ibu tunggal telah sedia menanggung terlalu banyak bebanan. Dari hendak mencari nafkah, menguruskan anak-anak, mendidik mereka, memikirkan keselamatan keluarga dll. Entah-entah hal diri sendiri, makan pakai sendiri pun tak sempat difikirkan. Setiap saat ada sahaja tekanan tanggungjawab dan emosi yang berlegar. Jika tidak kuat kesabaran dan pergantungan mereka kepada Allah, memang amat mudah pula pertimbangan akal fikiran mereka terbabas keluar dari landasan normal kehidupan. Secara jujurnya, saya sendiri sering terlajak dalam membuat pertimbangan apabila dihimpit dengan begitu banyak tekanan.

Berdasarkan pengalaman sendiri inilah menginsafkan saya tentang isu kezaliman ke atas ibu tunggal sama ada secara direct atau indirect. Mereka sudah menanggung terlalu banyak tekanan. Maka janganlah berikan mereka lebih banyak tekanan. Bimbang… jika anak-anak yatim pula yang menjadi mangsa apabila dijadikan tempat untuk melepaskan geram dan amarah.

Hmmm… kalau sudah tahu bahawa berbuat zalim kepada anak yatim adalah perkara haram, maka tidakkah berbuat zalim kepada pengasuh anak yatim juga adalah perkara haram?

p.s. 1:

Saya sering menerima emel daripada para ibu tunggal. Sedih bila membaca kisah mereka. Didoakan semoga Allah melimpahi mereka dengan kesabaran, rahmat dan kasih sayang-Nya. Ujian yang Allah berikan ini ialah hadiah untuk kita. Terimalah hadiah itu dengan redha.

p.s. 2: Saya minta maaf kerana kebelakangan ini saya kurang reply komen dan persoalan yang dikemukakan. Terus terang saya katakan bahawa bila emosi sering terganggu, semangat untuk menulis juga akan malap. Hmmm… kelemahan saya….

p.s. 3: Dr. Radiah Yusof dan semua pelajar HMT 223, terima kasih kerana bersusah-payah menyelongkar blog ini. Dr Radiah a.k.a. Kak Ody ni memang suka buat saya terkejut :) Apa tugasan yang student kak Ody kena buat kat blog saya? Kaji aspek linguistik ke? huhuuu… Minta maaf la sebab blog saya ni lebih banyak emosi berbanding ilmu.

33 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *