…antara keperluan, kemahuan & kemampuan
Saat-saat menanti hari untuk bersalin sangat mendebarkan dan menggusar perasaan. Sudahlah kandungan dirasakan lebih besar dari selalu, suami pula tiada untuk membantu secara moral dan fizikal sementelahan anak yang empat orang masih kecil dan sentiasa meminta dilayan dan diberikan perhatian.
31 Januari 2008
Seperti selalu, tarikh jangkaan bersalin tidak pernah tepat. Selepas 3 hari ‘overdue’ barulah terasa ‘contraction’ seawal jam 5.30 pagi. Saya sentiasa memerhatikan jam. Sakit masih jarang-jarang. Sekitar 20 minit sekali. Pengalaman bersalin empat kali sebelum ini membuatkan saya masak benar dengan sakit bersalin. Walaupun terasa sakit, saya masih boleh sambung tidur! Saya tahu, saya perlu cukup rehat untuk bersalin.
Pagi
Jam 7.15 pagi saya menelefon jiran sebelah iaitu Kak Shidah. Respon spontan diberikan. Kak Shidah segera menguruskan anak-anak yang perlu ke sekolah dan juga yang hendak dihantar ke rumah pengasuh. Begitu juga saya. Sebelum ke hospital, banyak urusan yang perlu diselesaikan dahulu. Jam 9 barulah saya dan Kak Shidah bertolak ke hospital. Pertama kali ke hospital untk bersalin bersama jiran, saya banyak mendiamkan diri sahaja. Hanya Kak Shidah yang tak henti-henti bercerita. Mungkin dia cuba mengalihkan perasaan saya.
Hospital Seberang Jaya
Menjejakkan kaki di Hospital Seberang Jaya membuatkan rasa hiba yang cuba dipendam tak dapat disembunyikan lagi. 42 hari lalu, di sinilah suami menghembuskan nafas yang terakhir dan hari ini, saya pula bakal bertarung nyawa demi satu lagi nyawa. Kematian dan kelahiran yang terpaksa ditempuh dalam satu jangka masa yang sangat singkat dan di bawah satu bumbung pula menuntut kesabaran yang sangat tinggi. Beberapa kali saya menyusup ke bilik air dalam dewan bersalin melepaskan perasaan kerana terlalu sedih menghadapi dugaan seberat ini. Allah sahaja yang tahu bagaimana sukarnya keadaan saya ketika itu. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk memberitahu kakitangan dalam dewan bersalin. Terima kasih kepada kakitangan Dewan Bersalin Hospital Seberang Jaya kerana memahami keadaan saya terutamanya seorang staffed nurse Melayu (terlupa namanya) yang memberi semangat kepada saya hinggalah selepas bersalin. Apabila keresahan dan kesedihan dapat diluahkan kepada orang lain, barulah terasa tenang sedikit.
Petang
Seperti biasa, sakit bersalin akan berpanjangan walaupun ini kelahiran kelima. Jam 3 petang barulah saya bersalin dan alhamdulillah, saat yang sangat saya takuti telah pun berlalu. Sepenuh kesyukuran dipanjatkan buat Tuhan yang Maha Berkuasa kerana telah memberikan saya kekuatan untuk menghadapi semua ini. Sepenuh kesyukuran juga buat-Nya kerana telah memudahkan proses bersalin. Rahmat Allah sangat luas. Saya tidak pernah menghadapi kesukaran bersalin dan tidak pernah serik bersalin. Hanya yang pasti, inilah kelahiran bongsu buat saya. Kejutan buat saya apabila nurse memberitahu bahawa puteri yang baru dilahirkan seberat 4.5kg! Riuh dewan bersalin. Seorang demi seorang nurse dan doktor ‘menziarahi’ puteri comel saya. “Macam teddy bear,” kata seorang doktor yang banyak membantu saya sebelum bersalin. Saya tersenyum sahaja. Tiada lagi tangis hiba. Tiada lagi resah dan gundah gulana. Melihat wajah puteri yang saling tak tumpah seperti ayahnya, hati menjadi tenang dan bersemangat untuk memulakan hidup baru. Yang pergi telah pergi, yang lahir dijadikan penawar hati.
Wad 10
Kerana katil dalam wad penuh, saya hanya dipindahkan ke wad biasa jam 7 malam. Anak-anak, sanak saudara dan jiran ramai yang menunggu. Kelahiran sebelum ini tak pernah seramai ini. Selalunya hanya suami yang ada. Kalau selalu suami yang azankan, tapi kini, bapa mertua tolong azankan. Sayu. Tapi, apakan daya. Semasa dipindahkan ke wad 10, saya memandang sepi wad 7 yang terletak berhadapan wad 10 kerana di situlah tercatat kisah perit buat saya.
Dengan GL yang dibawa dari USM, saya diletakkan di bilik 1 katil dan berhawa dingan. Malam itu saya sendirian dengan puteri kesayangan. Syukur kerana saya dapat melalui saat itu dengan tenang.
Memandangkan bayi yang dilahirkan ‘terlebih’ gebu, maka doktor sentiasa membuat pemeriksaan kerana bimbang tahap glukos dalam darah akan menurun. Selang setiap 3-6 jam darahnya akan diambil untuk diperiksa. Doktor hampir-hampir hendak menahan puteri saya di dalam wad kanak-kanak untuk membuat pemeriksaan lanjut. Namun apabila melihat sejarah kelahiran anak-anak yang lain pun sekitar 4kg semuanya dan ayahnya juga bersaiz ‘tinggi dan besar’, maka bayi saya dilepaskan. Lega rasanya.
1 Februari 2008
Tiada masalah. Hari ini saya dan puteri dibenarkan pulang ke rumah. Kakak dari Changloon (how to spell?) iaitu Anim datang dan membawa kami pulang ke Taman Bertam Permai, Kepala Batas. Saya pun mula berpantang. Ramai yang menolong. Kakak-kakak yang di Selangor/KL pun ramai yang datang meneman dan membantu saya. Mertua, ipar dan biras tak henti-henti menghulurkan bantuan. Jiran-jiran di Taman Bertam Permai ini pula, beritahu apa sahaja, pasti mereka bantu. Dari menguruskan anak hinggalah membeli sayur dan lauk, semuanya diselesaikan. Tiada kata yang dapat diungkapkan bagi menyampaikan rasa terima kasih saya kepada semua yang telah membantu saya sepanjang tempoh ini. Hanya kepada Allah s.w.t. saya berdoa semoga mereka semua diberikan limpahan rahmat dan ni’mat atas keikhlasan mereka menolong saya sekeluarga.
Terima Kasih
Terima kasih buat nama-nama ini (maaf, tak dapat senaraikan semuanya):
Mak (ibu mertua), Ayah (bapa mertua), Anim, Lelah, Shimah, Kak Shidah (Ustazah Norsidah), Kak Rohaya, Jan, Ton, Kak Aida, Cikgu Amri, Ustaz Norzli, En. Husni, Kak Sarinah (Ina), En. Zainal, Kak Shidah (EPF), Cik, Mak Teh Mahaya, Pak Teh, Titin, Kak Timah, Cikgu Fatimah, Abg. Shukri, Abg. Muz, Abg. Rahim, Liz dan ramai lagi…
Terima kasih juga buat semua yang telah menziarahi kami sekeluarga, yang bertanya khabar, menghantar SMS, berutus emel, bertegur sapa dalam blog dan berkirim salam. Sokongan yang diberikan kepada saya sekeluarga dalam menghadapi saat-saat sukar benar-benar membantu dan sangat kami hargai.
Selamat Datang ke blog saya. Blog ini sekadar permainan pena saya... wadah untuk berkongsi rasa dan cita. Jika anda rasa dengan melayari blog ini sekadar membuang masa anda, please, juz leave me alone....
Firdaus Rahim
May 18th, 2008 at 7:54 am
Assalamualaykum wrt wbt
semoga ustazah sihat sejahtera.
boleh saya bertanya, ustazah smap mana yea dulu?
ana SMAP Labu.
-firdaus nottingham-
Hasanah
May 18th, 2008 at 8:58 pm
Alaykumussalam Firdaus.
Terima kasih kerana singgah di sini. Saya cop SMAP Kajang.
anisah
May 19th, 2008 at 9:53 pm
Assalamualikum wrt wbt
terharu+sedih+bangga bila baca pengalaman bersalin Dr.Doa dan harapan moga Dr terus tabah menghadapi cabaran hidup.
Hasanah
May 19th, 2008 at 11:40 pm
Alaykumussalam Anisah,
Terharu, saya faham kenapa. Sedih, saya juga faham sebabnya. Bangga? Saya jadi tak faham. Apa yang dibanggakan ye?
ruszia
May 20th, 2008 at 12:39 am
Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk umatnya…..
semoga Dr menjadi insan yang tabah
Azri Amin Bin Che Din
May 25th, 2008 at 7:36 pm
Salam Dr.
Apa khabar? Maaf baru tahu yg Dr. dah dapat cahaya mata. Semoga ianya menjadi penganti dan penghibur duka Dr. kat arwah ustaz Rosdi.
Maaf saya katakan yang muka puteri Dr. ni cam arwah ustaz Rosdi (gambar yg 2 bulan).
Untuk hari2 seterusnya, semoga Dr. terus tabah dan dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya sebagai ibu+bapa. Insya Allah.
Azri skrg dah nak exam akhir ni awal bulan 6. Insya Allah bulan 7 ni habis la Ijazah.
Wassalam.
suriaterang
May 26th, 2008 at 6:01 pm
Subhanallah comelnya… semoga Allah memberikan sebaik2 ganjaran kepada puan. Disebalik kesedihan yang mencengkam jiwa, dikurniakan Allah permata hati yang sungguh bersih dan comel.
Rafidah
July 12th, 2008 at 2:39 pm
assalamualaikum…Dr…..terlebih dahulu sy ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala curahan ilmu yg diberikan selama saya berada di Usm..walaupun hanya satu paper yg saya ambil iaitu paper prinsip dan perundangan islam pd semester 1 sidang 2007/2008,namun ilmu yang tersebut amatlah berguna untuk saya…tak pernah saya melihat wajah dr yang sedih dan sayu ketika mengajar walhal waktu itu dr ditimpa musibah yang amat besar….masyaAllah……..saya tak dapat tahan air mata saya apabila membaca blog dr ini…kalaulah saya berada di tempat dr, mungkin semua semangat saya akan hilang…..tapi dr seorang yang tabah!!!
Hasanah
August 4th, 2008 at 9:54 pm
“…tak pernah saya melihat wajah dr yang sedih dan sayu ketika mengajar ”
mana boleh tunjuk sedih kat student… pantang besar!!!
Sebenarnya, masa semester 1 2007/2008 tu tak perasan pun yang ketumbuhan kanser tu tumbuh balik dan dah besar pun… Entah kenapa la saya tak terfikir pun hal tu padahal saya sedar yang perut dia makin besar walaupun dalam masa yang sama dia sedang diet…
romlah
September 5th, 2008 at 10:33 am
Assalamualaikum..sy rasa msih blm terlambat utk sy mengucapkan selamat berpuasa..
erm..sedih sgt2 after baca blog ni..da nangis pon..
ya Allah betapa besarnya ujian Dia, tp sesungguhnya setiap ujian 2 ada hikmah disebalik semua 2..lg pon Allah xkan beri sesuatu ujian yg diluar kemampuan hambaNYA..
saya doakan moga Dr sentiasa diberkati & dirahmati olehNYA…