…antara keperluan, kemahuan & kemampuan

Gembiranya seorang ayah saat memangku putera puteri yang dikasihi. Tetapi, andainya ketentuan ajal tiba mendahului segalanya...
Wanita yang kematian suami mempunyai tempoh iddah yang berbeza berbanding perpisahan akibat perceraian. Disebutkan dalam ayat 234 Surah al-Baqarah:
((..dan bagi perempuan yang kematian suami di antara kamu dan kemudiannya mahu berkahwin maka hendaklah dia menahan dirinya (beriddahh) selama empat bulan dan sepuluh hari))
Dalam satu kertas kerja yang ditulis oleh pensyarah saya semasa belajar di Universiti Mu’tah, Jordan, iaitu Dr. Abd al-Hamid al-Majali (ArabLawInfo.com: 2002), dijelaskan tentang hikmah disyariatkan iddah bagi wanita yang kematian suami. Beliau antara lain menjelaskan bahawa ikatan perkahwinan merupakan satu ikatan yang sangat kuat dan suci yang diasaskan oleh perasaan cinta dan kasih sayang. Al-Quran banyak memberikan gambaran yang indah tentang hubungan perkahwinan (lihat: al-Baqarah ayat 187 dan al-Rum ayat 21) di mana pasangan suami isteri menjadi pakaian antara satu sama lain dan dijadikan pula pasangan itu tempat untuk bersenang-senang dan mendapat ketenangan. Ikatan zahir dan batin yang begitu kuat ini pastinya menjadikan perpisahan antara kedua-duanya sangat sukar sekali apatah lagi jika perpisahan itu akibat kematian.
Al-Majali menambah bahawa iddah antara lain dapat memastikan rahim wanita bersih dari benih suami, mengenang kebaikan dan keindahan hidup bersama suami, menzahirkan kesedihan atas pemergiannya, memelihara kehormatannya serta mengelakkan fitnah. Wanita ialah makhluk tuhan yang dianugerahkan dengan roh dan jasad. Dalam keadaan yang sangat sukar selepas kematian suami, wanita memerlukan masa untuk membiasakan dirinya dengan kehidupan baru yang pastinya jauh berbeza dengan kehidupan semasa suaminya masih hidup.
TEMPOH IDDAH WANITA YANG KEMATIAN SUAMI
1) BAGI WANITA/ISTERI YANG TIDAK MENGANDUNG
Tempohnya ialah 4 bulan 10 hari dari tarikh kematian. Perlu diingatkan bahawa ‘bulan’ di sini ialah bulan dalam kalender Islam/ Hijrah bukannya kalender Masehi. Oleh itu, jumlah hari yang dia kena beriddah ialah kira-kira 130 hari.
2)BAGI WANITA/ ISTERI YANG MENGANDUNG
Keadaan ini adalah menyamai keadaan saya yang kehilangan suami tercinta ketika mengandung 8 bulan.
Untuk wanita seperti ini, secara ringkasnya iddahnya tamat sebaik sahaja melahirkan anak (dan bukan 4 bulan 10 hari). Malah, jika selang masa antara kematian suami dan juga kelahiran anak itu sangat pendek, iddahnya tetap berakhir.

Hajar saat baru dilahirkan
Contoh, dalam kes saya, ketika suami meninggal dunia, saya sedang sarat mengandung 8 bulan. Kira-kira 40 hari selepas itu, saya pun bersalin. Maka tamatlah iddah saya, iaitu hanya kira-kira 40 hari sahaja.
Contoh lain, katakanlah jika berlaku kematian ketika si isteri mengandung 2 bulan. Selepas 7 bulan barulah dia bersalin, maka itulah tempoh iddah yang perlu dilaluinya.
Contoh ketiga, katakanlah pasangan suami isteri menaiki kenderaan dan berlaku kemalangan. Akibat hentaman yang kuat, si suami meninggal di tempat kejadian, manakala si isteri bersalin tidak sampai beberapa saat selepas itu, maka dengan serta merta juga iddahnya berakhir.
Dalil ataupun hujah bagi hukum ini adalah seperti ayat Quran yang menyebut bahawa perempuan yang mengandung tempoh iddahnya ialah sehingga melahirkan anak (al-Talaq, ayat 4). Dalil daripada hadis sahih juga menjelaskan keadaan perempuan yang hamil ketika kematian suami lalu Rasulullah s.a.w. membenarkannya berkahwin lain selepas bersalin (tidak perlu menunggu hingga 4 bulan 10 hari). Hukum ini telah dijelaskan oleh baginda dalam hadis tentang Sabi’ah al-Aslamiyah yang bersalin beberapa hari selepas kematian suaminya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Demikianlah pendirian majoriti fuqaha dalam kes seperti ini.
Terdapat pula sebilangan fuqaha yang berpendapat bahawa dalam keadaan ini hendaklah si isteri tadi beriddah mengikut ab’ad al-ajalayn, iaitu tempoh yang paling panjang. Maksudnya, jika tempoh 4 bulan 10 hari lebih panjang dari tarikh bersalin, maka hendaklah wanita itu beriddah selama 4 bulan 10 hari. Tetapi jika tarikh bersalin lebih lewat/ terkemudian berbanding 4 bulan 10 hari, maka hendaklah dia beriddah hinggalah bersalin.
Pandangan ini di bawa oleh sebilangan kecil fuqaha.
Cukup dulu kot tentang iddah wanita yang kematian suami… Semoga artikel ini dapat dimanfaatkan oleh wanita di luar sana yang senasib dengan saya…
Al-Fatihah buat para suami yang telah kembali ke rahmatullah…
SIRI ARTIKEL TENTANG IDDAH
* IDDAH
* TEMPOH IDDAH: BAHAGIAN 1
* TEMPOH IDDAH: BAHAGIAN 2
* TEMPOH IDDAH: BAHAGIAN TIGA (IDDAH BAGI WANITA YANG KEMATIAN SUAMI)
Selamat Datang ke blog saya. Blog ini sekadar permainan pena saya... wadah untuk berkongsi rasa dan cita.
nurul
August 9th, 2008 at 12:06 pm
saya nak tahu apakah dalil dari segi al-quran dan as-sunnah bagi perempuan yang diceraikan samada perempuan itu mengandung ataupun tidak……….
Dr Hasanah
August 9th, 2008 at 1:37 pm
Nurul,
Lihat di http://drhasanah.com/2008/tempoh-iddah-bahagian-1/
farid
August 14th, 2008 at 9:08 am
maklumat yang diberikan sangat berguna.syukran jazilan
kak fiza
October 10th, 2008 at 1:34 pm
Salam Dr Hasanah. Melalui tempoh iddah merupakan satu kewajipan dalam syariah…bagaimana tentang tatah tertib wanita ketika beriddah -setelah kematian suami? Selain dari menjaga tingkahlaku (tidak keterlaluan nada bicara), megenakan pakaian yg tidak berwarna dan tidak berwangi2an , bagaimana tentang pergaulan degan rakan taulan, saudara mara? Bolehkah menghadiri kenduri tahlil?, menziarah kematian atau menziarah rakan yg baru bersalin? harap dapat menjelaskan. Terimakasih dan Allah bless.
Hasanah
October 14th, 2008 at 5:19 pm
Salam kak Fiza, pada asasnya, perempuan dalam iddah tidak harus keluar rumah kecuali jika ada keperluan. Namun tidak ada salahnya jika dia bergaul dengan jiran dan saudara mara kerana itu boleh membantunya melalui saat yang sukar. Tapi, sebaiknya, hanya keluar bila ada keperluan yang penting sahaja.
Faiz Faiza
October 24th, 2008 at 9:19 pm
Takziah Dr. Hasanah. Ibu saya baru saja kehilangan suami (Abah saya) tika 1 Ramadhan lalu baru menyapa siang. Kami usahakan supaya 2 orang adik lelaki saya yang menuntut ilmu di Azhar supaya pulang ke Tanah Air. Alhamdulillah, segalanya teratur menurut kehendak Ilahi. Kami sekeluarga berlapang dada dengan kehilangan ini. Penghujung bulan 11, adik-adik saya akan kembali ke Mesir. Kami adik-beradik merancang untuk menghabiskan masa bersama-sama; barangkali ke sungai terpencil. Cuma menjadi persoalan, bagaimana dengan ibu? Adakah dibolehkan untuknya keluar bersama keluarga ke tempat tersebut. Buat makluman, kami sengaja memilih tempat terpencil untuk mengelakkan percampuran dengan orang ramai. Mohon pendapat Dr. Jazakalallah.
Hasanah
October 28th, 2008 at 9:51 am
Takziah buat Faiz dan keluarga. Semoga abah Faiz bahagia di alam sana. Semoga anak-anak tak kira yang al-Azhar ataupun tidak sentiasa mendoakan buat ibu bapa.
Mengenai ibu Faiz, pada saya, tiada masalah untuk dia keluar merehatkan minda, berdamping dengan anak-anak dan mengurangkan tekanan. Wanita yang kematian suami dibenarkan untuk keluar rumah jika ada keperluan. Tetapi jika keluar rumah dengan tujuan untuk berseronok-seronok dan berhibur, maka ia dilarang.
Wallah a’lam
intan
October 29th, 2008 at 3:53 pm
ibu saya masih dalam edah boleh tak dia keluar contoh pergi shopping pergi beli barang untuk ank sedara dia nk berkahwin.atau pergi jalan-jalan sebab nk hilangkan boring yela baru kematian ayah saya.
Hasanah
November 6th, 2008 at 1:09 pm
apa lagi yang perlu dijelaskan?
Tahar
November 26th, 2008 at 11:26 pm
Salam,
Saya baru kematian bapa, saya masih keliru dgn larangan iddah utk ibu saya, khasnya larangan keluar rumah. Bulan depan Aidiladha bakal menjelma, bolehkah saya membawa ibu saya pulang ke kampung untuk menemui sanak saudara dan ibunya.
Bagaimana pula jika seorang isteri yg bekerja dan tanggungjawabnya perlu dia kerja sehingga waktu malam?
Hasanah
November 27th, 2008 at 1:29 pm
Salam,
Tahar, asasnya jelas iaitu perempuan yang dalam iddah tidak boleh keluar rumah melainkan ada keperluan. Tidak wajar dia pulang ke kampung untuk ziarah menziarahi. Sebaliknya, sepatutnya, yang di kampung lah datang menziarahi dia yang masih lagi kesedihan. Saudara Tahar telefonlah keluarga di kampung minta supaya mereka datang ke rumah Tahar. Fahamkan mereka dengan keadaan ibu ini.
Bekerja tidak sama dengan ziarah. Isteri yang kematian suami tidak dilarang keluar bekerja kerana dia perlu menyara dirinya sendiri. Kalau sudah rezeki dia terpaksa bekerja mengikut syif maka tiada salahnya asalkan suasana pekerjaan itu selamat. Namun, hendaklah dia menjaga maruah dan kehormatan diri dengan sebaiknya.
shida
November 27th, 2008 at 5:19 pm
saya telah 4 tahun kehilangan ayah..kini mak saya ingin berkahwin.saya tidak dapat menerima keputuan emak saya kerana saya amat menyayangi ayah saya.setahu saya,emak akan bersama suami terakhir di akhirat.saya tidak sanggup menerima hakikat bahawa emak tidak akan bersama ayah lagi.apa yang harus saya lakukun?
shida
November 27th, 2008 at 5:27 pm
pilihan ibu saya ialah suami orang.walaupun ayah dah pergi,kasih sayang nya masih dirasai.saya memang tidak boleh terima ayah baru.tolong lah saya.saya tiada tempat untuk mengadu nasib.atuk berada jauh di kampung.umur saya 13 tahun.jika sudi membantu no sy 0179316738.terima kasih.
Hasanah
November 28th, 2008 at 9:15 am
Adik Shida,
Percayalah, walaupun ibu akan berkahwin lain, tidak bermakna dia sudah tidak sayangkan ayah. Bertahun-tahun ibu berkongsi hidup bersama ayah, segala susah senang yang mereka lalui, merekalah yang lebih mengetahui. Shida anak. Sebahagian kesusahan mereka Shida nampak. Tapi ada banyak lagi suka duka mereka berdua yang Shida tidak tahu. Jadi, jika ibu bertemu jodoh yang baru, Shida kena tenangkan fikiran dan sentiasa FIKIR POSITIF.
Saya percaya, ibu Shida tetap sayangkan ayah Shida dan tidak mungkin akan melupakan dia sampai bila-bila. Ibu Shida juga tak mungkin akan mengabaikan Shida kerana kasih ibu untuk anaknya tidak pernah bersempadan.
Doalah banyak-banyak mohon Allah s.w.t bantu Shida menghadapi keadaan ni. Semoga ayah baru dapat memberikan kebahagiaan kepada ibu Shida dan juga untuk Shida sekeluarga.
Siti
February 13th, 2009 at 3:45 pm
Apa hukumnya perempuan sedang Iddah keluar rumah untuk bekerja dan menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan hal suaminya…..
Hasanah
February 14th, 2009 at 11:46 pm
Tiada masalah insyaAllah sebab keluar tu untuk bekerja untuk menyara dirinya dan apa-apa perkara yang menjadi keperluan penting sahaja.
asfalela
February 20th, 2009 at 9:32 am
bolekah seorang balu memakai bedak dlm eddah, kalau saya membawa anak saya mkn di kedai kerana anak saya tidak berapa nak mkn di rumah bila di kedai kdg2 die nak mkn sedangkan saya masih lg dlm edah kematian suami apa hukumnya.
Dr Hasanah
February 21st, 2009 at 9:03 am
Hukum asasnya, ialah Asfalela dilarang berhias, berwangian dan keluar rumah tanpa tujuan penting. Jadi, nilailah sendiri adakah bedak itu dipakai untuk berhias? Adakah ia mengandungi pewangi?
nuriena
March 6th, 2009 at 4:39 pm
salam…
saya ingin bertanya : kawan saya akan melahirkan anak dalam masa sebulan lagi…Dalam masa tersebut, berlaku pertengkaran antara mereka dan suaminya melafazkan cerai….
Sekiranya suaminya ingin rujuk semula, adakah dia perlu menunggu isterinya melahirkan anak???
atau bolehkah suaminya merujuk isterinya sebelum melahirkan anak????adakah sah perkahwinan sekiranya dia rujuk semula sebelum isterinya melahirkan anak tersebut???
Hasanah
March 11th, 2009 at 11:46 pm
Nuriena, perceraian tersebut sah jika suami menggunakan lafaz yang jelas tentang cerai/talak. Ia juga sah jika suami menggunakan lafaz yang berkias dan dia memang berniat mahu menceraikan isterinya.
Jika mahu rujuk, maka segeralah rujuk sebelum si isteri bersalin kerana jika isteri bersalin, maka tamatlah tempoh iddah dan suami sudah tidak boleh rujuk. Namun, jika mahu meneruskan ikatan, maka hendaklah si suami meminang/menikahi bekas isteri tersebut dengan akad dan mahar yang baru.
Dalil ataupun hujah bagi hukum ini adalah seperti ayat Quran yang menyebut bahawa perempuan yang mengandung tempoh iddahnya ialah sehingga melahirkan anak (al-Talaq, ayat 4). Lihat:
http://drhasanah.com/2008/iddah-bahagian-tiga-iddah-bagi-wanita-yang-kematian-suami/
dalam para berkaitan wanita yang hamil dan kematian suami ataupun diceraikan.
nor aidamazmim binti abu talib
April 29th, 2009 at 7:55 am
1.benarkah jika seorang wanita yang telah kematian suami jika tidak berkahwain lagi apabila tiba kematian si isteri akan ia bertemu dengan arwah suami di alam kekal kelak.
2.berdosakah jika si isteri memohon kepada Allah S.W.T untuk mati apabila melahirkan anak mereka nanti.
zuki
May 21st, 2009 at 10:07 pm
assalamualaikum…
nak bertanya, ibu saya dalam eddah kematian suami, tetapi saya akan bertunang dan memerlukan ibu saya hadir dalam upacara tersebut.
Tarikh pertunangan susah hendak ditukar kerana faktor masa jarak dan logistic. Bolehkah ibu saya meninggalkan rumah dan hadir pada upacara pertunangan saya itu?
Hasanah
May 21st, 2009 at 10:45 pm
Persoalannya, perlukah ibu hadir dalam majlis tu? Adakah majlis jadi tidak sah jika dia tiada? Tiadakah lagi saudara mara atau jiran-jiran yang boleh mewakili ibu? Kalau benar tarikh sudah tidak boleh diubah, tapi, persoalannya sekali lagi… perlu sangatkah ibu hadir? Sewajarnya semua pihak memahami situasi ibu itu buat masa ini…
Hmmm…. dulu saya bertunang, bakal ibu mertua saya tidak hadir. Pakcik makcik dan tok wan suami yang memenuhi ruang tamu di rumah saya. Bukan tiada restu, tetapi pada masa itu dia kurang sihat sikit.
zuki
May 22nd, 2009 at 1:21 am
Saya berharap sangat ibu hadir dan beliau sendiri ingin hadir dimajlis tersebut kerana hanya beliaulah yg saya ada selain adik2 saya. Beliau berhajat datang bersama adik2 saya. Beliau sedar akan hukum iddah, tetapi tujuannya datang bukanlah kerana bersuka2, tetapi untuk melawat saya, dan juga hadir sekejap dimajlis pertunangan saya itu.
Walaupun pada hakikatnya tanpa beliau tidak mengapa, tetapi sebagai seorang ibu beliau ingin hadirkan diri demi anaknya ini. Saya kesian melihat ibu kerana beliau sudah jadi serba salah, dan lebih merungsingkan beliau. Walaupun majlis bertunang bukanlah sepenting majlis akad nikah, tetapi kehadiran ibu adalah pelengkap kepada majlis itu. Sayapun dah naik confuse, kerana bukankah Islam itu cukup indah? peristiwa ini akan membuat beliau bertambah sedih…
Hasanah
May 22nd, 2009 at 1:23 pm
…. malas betul saya! Kalau anaknya nak suruh juga pergi walaupun saya kata dia perlu berehat di rumah, maka untuk apa bertanya-tanya?
Semuanya mesti ada hikmah. Berlapang dadalah…
zuki
May 22nd, 2009 at 3:30 pm
minta maaflah..saya bertanya kepada ramai para ilmuan, dan jawapan yg saya dapat adalah tidak ada pantang larang keluar rumah, dan sampai tahap jatuh haram..entahlah!
nur ilhami
May 23rd, 2009 at 11:17 am
terima kasih atas perkongsian ilmu
fadhilah
May 25th, 2009 at 1:52 pm
salam..
sy ingin bertanya..
ibu sy baru kematian suami dan dalam tempoh edah.
persoalannya sekarang, bolehkah ibu sy keluar rumah untuk menjemput orang menghadiri kenduri tahlil suami???
Lina
May 26th, 2009 at 1:40 pm
meh sy tlg jwb doc. baca…
http://drhasanah.com/2009/apa-yang-tidak-boleh-dilakukan-oleh-wanita-yang-berada-dalam-iddah-kematian-suami
Noraini
June 25th, 2009 at 2:52 pm
Adik saya baru kehilangan suami (ketika sarat mengandung 8 bulan) dan kini sedang menjalani fasa berpantang selepas bersalin. Masalahnya adik saya masih bersedih di atas kematian suaminya (masalah jantung), setiap hari beliau akan menangis mengenangkan suaminya, sudah tentulah dia tiada selere makan.. keadaan fizikalnya amat lemah seperti melayang-layang bila berjalan dan penglihatannya juga seakan kabur. Saya ingin mendapatkan pandangan doktor melalui pengalaman doktor sendiri, bagaimana doktor dapat mengatasi kesedihan seperti ini dahulu. Terima kasih.