“…barangsiapa yang belum mampu (berkahwin) maka…”

Gelora jiwa, lebih dahsyat dari tsunami!

Assalamualaikum,

Kembali kepada janji saya untuk menumpukan artikel tentang perkahwinan.

***********

Apabila kita membuka kitab-kitab tentang perkahwinan, antara perkara awal yang sering disebut ialah kebaikan berkahwin, dalil-dalil yang menggalakkan perkahwinan dan sebagainya. Orang yang memang teringin nak kahwin tak perlu diajar tentang kenapa dia perlu kahwin. Kalau tak disuruh pun, dia akan kahwin juga.

Tetapi, kita jarang disajikan dengan PENAWAR untuk orang yang dah ‘tak tahan’ nak kahwin tetapi menghadapi masalah duit, jodoh, keluarga dan lain-lain lagi.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:
Hai orang-orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) itu dapat mengawal mata dan kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya.

Berulang kali saya membaca dan menghayati hadis ini. Terdetik di hati, “begitu indah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kerana agama yang selari dengan fitrah manusia ini, agama yang memahami kehendak naluri nafsani, agama yang tahu hikmah yang tersirat di sebalik hakikat, apabila berbicara tentang berkahwin, disuanya dahulu penawar untuk insan-insan seperti ini.”

Hakikat berpuasa bukanlah sekadar berlapar dahaga, malah lebih jauh lagi, ialah mengawal hati, akal, anggota fizikal dan juga segala pancaindera daripada melakukan maksiat. Ia secara tidak langsung dapat menggerakkan jiwa supaya tenang menghayati hakikat kejadian kita di muka bumi ini.

Siapa yang lebih perlu berpuasa?

Kalau kita lihat di mana-mana sekalipun, golongan wanita paling ‘rajin’ berpuasa. Di asrama-asrama sekolah, kolej dan universiti sebagai contoh, setiap petang Isnin dan Khamis, pasti ada sahaja muslimah yang kekalutan membeli nasi bungkus untuk dimakan semasa berbuka. Situasi yang sama jarang berlaku di asrama lelaki. Mungkin kerana mereka tidak perlu ‘qodho’, maka berpuasa di luar bulan Ramadhan bukanlah amalan mereka.

Kalau melihat dari banyak aspek, sepatutnya, suasana di asrama lelaki lebih meriah daripada asrama perempuan. Berbanding dengan perempuan, runtunan nafsani lelaki untuk berkahwin jauh lebih tinggi. Hal ini ialah hakikat yang tak perlu disangkal lagi dan kita perlu terimanya secara terbuka. Oleh yang demikian, budaya berpuasa perlu dipupuk di asrama lelaki untuk memelihara minda mereka supaya lebih jernih dan murni.

Dalam masa yang sama, berpuasa tidak boleh disempitkan kepada masalah runtunan dalaman semata-mata. Kita harus melihatnya secara terbuka sebagai satu ibadah yang dituntut untuk dilakukan sepanjang tahun. Hanya dalam konteks berhadapan dengan masalah kewangan dan sebagainya yang menyebabkan tarikh perkahwinan ditangguhkan maka berpuasa ialah penawarnya.

9 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *